Rami Gawai di Kampung Simpok Jun 1 hingga 3 ini

Rami Gawai akan diadakan di dewan masyarakat Kampung Simpok pada 1 hingga 3 Jun ini. - dayakdaily.com

PADAWAN: Suku kaum Bidayuh berketurunan Bisapug dari Kampung Simpok akan mengadakan Pesta Gawai atau juga dikenali Rami Gawai yang akan diadakan di dewan masyarakat Kampung Simpok pada 1 hingga 3 Jun ini.

Menurut Roland Sikep mewakili Ketua Kaum John Jingut, pada tahun ini Rami Gawai akan disambut dengan kadar yang lebih besar berbanding sebelumnya.

“Selain dari acara mengelilingi sangar, band muzik dengan artist terkemuka tempatan seperti Jocy Menti dan cabutan tiket bertuah, terdapat juga pertandingan Nak’ya Sangon dan Nak’ya Pegan (Ratu Cantik dan Bujang Berani versi kanak-kanak), pertandingan yang pertama seumpamanya di sini.

“Acara lain termasuk pertandingan tarian tradisional Bidayuh dan Fancy Dress kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya.

Katanya, perasmian dewan serbaguna Kampung Simpok yang baharu dan juga pelancaran Pasukan Sukarela Bomba juga akan dilaksanakan pada salah satu malam berkenaan.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Dato’ Sri James Dawos akan merasmikan Rami Gawai pada Jun 1 Jun, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn akan menutup Rami berkenaan pada Jun 3.

Menurut Pengerusi Pengelola Rami Gawai, Anthony Ata, semua ahli jawatakuasa telah berkerja keras untuk kesemua bahagian Rami ini yang telah mendapat sambutan dan kerjasama sepenuhnya dari kesemua penduduk kampung dan juga sedikit sebanyak bantuan kewangan dari pihak kerajaan dengan sokongan dari kedua-dua wakil rakyat.

Selain dari acara utama yang berlangsung pada Jun 1 hingga 3, Rami Gawai juga akan bermula dengan Sukaneka Sungai Serin yang akan berlangsung pada 28 Mei ini di Sungai Serin, sungai yang membelah melalui Kampung Simpok.

Menurut Pengerusi Penganjur Sukaneka, Robert John, sukaneka berkenaan adalah yang seumpama dilakukan di sungai berkenaan.

“Antara acara yang dipertandingkan termasuk pertandingan rakit berhias, tarik tali dalam air, baling belon dan tangkap itik. Acara bermula 11 pagi,” katanya.

Semua dijemput memeriahkan acara pada 28 Mei dan juga pada 1 hingga 3 Jun nanti.

Bisapug adalah salah satu keturunan suku kaum Bidayuh yang menetap kebanyakan di Jalan Padawan (lama) terdiri dari empat kampung, Kampung Pruman Simpok, Kampung Mundai, Kampung Sarig dan Kampung Pesa.