Rabies: Petugas taska dan tadika pantau tahap kesihatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka

KUCHING – Para petugas taska dan tadika di Serian diminta memantau pergerakan serta tahap kesihatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka supaya tidak mendekati anjing bagi memastikan tidak dijangkiti virus rabies atau pembawa penyakit anjing gila.

Bagaimanapun, setakat ini tiada arahan penutupan taska dan tadika di sekitar bahagian itu memandangkan keadaan masih terkawal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tahap kesihatan kanak-kanak yang di bawah jagaan taska dan tadika perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya jangkitan virus rabies.

Menurut beliau, sekiranya kanak-kanak di bawah jagaan mereka menunjukkan simptom berkaitan penyakit itu, golongan tersebut perlu segera dihantar ke hospital atau klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Para petugas taska dan tadika juga perlu bertanya kepada kanak-kanak yang dibimbing mereka sama ada pernah digigit anjing atau sebaliknya.

“Jika pernah digigit anjing, mereka harus segera dibawa ke hospital atau klinik terdekat bagi melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini hari ini.

Rohani meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat keadaan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang dijangkiti virus rabies.

Keadaan kanak-kanak yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS itu dilaporkan masih kritikal.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Batang Lupar itu menasihatkan orang ramai yang digigit anjing atau kucing agar segera membasuh kesan gigitan dengan air dan sabun sebelum mendapatkan rawatan lanjut di hospital atau klinik.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan dua daripada tiga kanak-kanak yang sah positif dijangkiti virus rabies telah meninggal dunia pada 4 Julai lalu iaitu dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson, 5, dari Kampung Paon Sungai Rimu. – dayakdaily.com