Pustakawan perlu lengkap diri dengan ilmu pengetahuan

Annuar (tengah) meluang masa melawat pameran sempena Seminar Kepustakawanan 2017, Unimas - dayakdaily.com

KUCHING:Pustakawan perlu berilmu pengetahuan serta berupaya mencipta maklumat selari dengan kemajuan pada hari ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri(Penyelidikan Sains dan Bioteknologi), Dr Annuar Rapaee berkata, tahun-tahun kebelakangan ini fungsi dan sistem perpustakaan atau agensi maklumat telah berevolusi secara konsisten.

“Pada era kemajuan teknologi pada masa perpustakaan perlu menjadi rumah yang menjadi kepada pengetahuan manusia, bersama-sama dalam penciptaan pengetahuan serta menyediakan hubungan penting dalam rangkaian inovasi maklumat,” katanya di Seminar Kepustakawanan 2017 Pusat Khidmat Maklumat Akademik (PKMA) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Annuar berkata, Pustakawan mesti memahami teknologi maklumat dan mengeksploitasikan sepenuhnya potensi-potensi yang ada padanya.

“Pustakawan juga harus bersedia menerima perubahan terhadap tugas-tugas yang diberikan kepada mereka.

“Mereka perlu belajar dan mengaplikasikan kemahiran-kemahiran baru dengan menerapkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam latihan kepada pustakawan,” katanya.

Seminar Kepustakawanan 2017 juga membincangkan isu-isu berkisar profesionalisme kepustakawanan bagi memastikan para pustakawan terus relevan, diiktiraf dan dirujuk.

Antara objektif seminar ini adalah untuk membincang peranan pustakawan dan pengurus maklumat ke arah anjakan paradigma. Ia juga bagi menggalakkan perkongsian maklumat yang pintar dan lestari di kalangan institusi berkaitan dalam memperkasa perpustakaan dan pusat maklumat.

Seminar ini juga akan dijadikan sebagai wadah bagi pustakawan dan pengurus maklumat dalam merealisasikan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dan khidmat serta sumbangan perpustakaan kepada komuniti.

Seminar dua hari ini bakal mengetengahkan perspektif perkembangan ilmu dan teknologi daripada para profesional maklumat/pustakawan, para akademik, penyedia perkhidmatan dan pengguna.

Tiga belas kertas kerja akan dibentangkan oleh para profesional dari pelbagai institusi termasuk Indonesia dan sebagainya.

Pembentangan kertas kerja seminar ini merangkumi semua aspek dalam pengurusan perpustakaan dan terbahagi kepada empat sesi iaitu persekitaran digital, penyelidikan dan innovasi, pendidikan dan latihan dan pengoptimuman sumber. – dayakdaily.com