Projek RMKS dijangka siap Mei tahun hadapan, masalah hakisan di Simunjan diatasi

Datuk Sri Nancy Shukri(tengah) meninjau projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Batang Sadong di Pekan Simunjan.

SIMUNJAN:Masalah hakisan sungai yang membelenggu penduduk di daerah Simunjan diatasi apabila projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Batang Sadong di Pekan Simunjan dijangka siap Mei tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, projek itu di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan siling yang diluluskan sebanyak RM15.5 juta.

“Kerja-kerja pembinaan bermula secara rasmi pada 22 September 2016 untuk disiapkan dalam tempoh dua puluh bulan iaitu pada 21 Mei 2018 dengan nilai tender sebanyak RM13.831 juta,” katanya.

Katanya,skop projek itu bagi perlindungan tebing kanan sepanjang 560 meter merangkumi kerja penanaman cerucuk kepingan keluli, pemasangan ‘geotextile’ di bahagian tebing aras, pemasangan lapisan timbunan ‘armour rock’ dengan ketebalan minimum 1.4 meter di bahagian tebing bawah dan ‘toe protection’ di dasar sungai, ‘earth filling’ dan pembinaan sistem saliran.

“Projek ini dijangka dapat mengatasi masalah hakisan tebing sungai yang mengancam harta benda awam di Pekan Simunjan dalam jangka masa panjang.


“Di samping itu, ianya turut menyediakan tempat riadah bagi penduduk setempat dengan kemudahan laluan pejalan kaki (walkway) yang disediakan dalam projek ini,” katanya.