Program sekolah angkat untuk tingkatkan Bahasa Inggeris

Manyin menandatangani buku pelawat Sekolah Tinggi Katolik selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merasmikan bangunan utama sekolah tersebut hari ini. - dayakdaily.com

SIBU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak termasuk daripada pembangkang diminta menjadikan sekolah-sekolah di kawasan mereka sebagai sekolah angkat bagi membantu menangani kemerosotan mutu Bahasa Inggeris di kalangan kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, kementerian beliau telah menulis kepada semua ADUN mengenai perkara tersebut dengan harapan mereka dapat menggalakkan pelajar menggunakan Bahasa Inggeris di sekolah masing-masing.

“Kami juga telah mengambil beberapa langkah lain seperti mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri mendirikan papan tanda dwibahasa – dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris serta-merta di sekolah dan menggalakkan guru besar serta pengetua menggunakan Bahasa Inggeris semasa perhimpunan,” katanya.

Beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merasmikan bangunan utama Sekolah Tinggi Katolik di sini hari ini.

Manyin mengingatkan usaha meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak harus disalahtafsirkan sebagai menurunkan taraf bahasa kebangsaan.

Beliau berkata penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dilaksanakan bagi mewujudkan identiti untuk negara ini dan menyatukan rakyatnya daripada pelbagai bangsa dan agama dan objektif itu boleh dikatakan sudah dicapai.

Beliau turut menasihatkan para guru agar tidak terus membetulkan kesilapan yang dibuat pelajar semasa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana tindakan dikhuatiri akan mematahkan minat mereka untuk mempelajari bahasa tersebut.

Katanya, pelajar akan dapat membetulkan kesilapan mereka itu semasa dalam proses pembelajaran dan semakin menguasai Bahasa Inggeris itu. – dayakdaily.com