
Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.
BETONG: Industri penanaman lada di negeri ini mempunyai potensi masa depan yang cukup cerah apabila terus menerima suntikan daripada kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebagai sokongan kepada Industri lada kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM 10 juta untuk membantu pengusaha lada pada tahun ini.
“Ini tidak termasuk peruntukkan sebanyak RM 5.6 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan untuk terus menyokong industri ini,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Sarawak: Jom Tanam Lada Peringkat Bahagian Betong bertemakan ‘Penanaman dan Pengeluaran Lada Adalah Satu Perniagaan’ di dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.
Katanya, usaha ini dilakukan supaya kekal menjadi penyumbang utama peningkatan ekonomi petani sekaligus meningkatkan eksport ke negara luar.
Uggah turut menasihatkan penanam lada supaya konsisten dalam penanaman komoditi itu.
“Jangan cepat berputus asa apabila harga komoditi lada menjunam dan berebut-rebut mengusahakannya apabila harga lada naik,” katanya.
Katanya, kerajaan berusaha mencari mekanisme yang sesuai dan boleh diguna pakai untuk membantu para petani sekiranya berlaku penurunan harga lada pasaran sehingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian.
“Kita mahu Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Jabatan Pertanian bekerjasama untuk mencari penyelesaikan bagi meningkatkan produktiviti kerana kita percaya apabila produktiviti meningkat, maka pendapatan juga akan bertambah walaupun harga komoditi tersebut menurun.
“MPB perlu membimbing penanaman lada supaya hasil lada dapat dijual bukan sahaja dalam bentuk mentah tetapi juga dalam bentuk produk tambah nilai yang lain,” katanya.
Setakat ini Bahagian Betong telah mengeluarkan 5,000 tan lada dan telah mengeluarkan lada istimewa jenis creamy white dengan harga yang lebih baik. – dayakdaily.com