Positif dadah, lelaki gagal jadi polis

SIBU: Seorang lelaki berusia 22 tahun terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi anggota polis apabila beliau ditahan selepas gagal saringan air kencing semasa menghadiri temuduga bagi jawatan konstabel di sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, ujian air kencing lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Dia nampaknya layak untuk jawatan tersebut tetapi gagal ujian air kencing. Kita terus tahan dia bawah Seksyen 15(a) Kanun Keseksaan kerana penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu hari ini.

Lelaki itu merupakan salah seorang daripada 101 calon yang hadir ke temuduga itu di IPD Sibu pada Selasa selepas lulus ujian fizikal sebelum ini.

Seramai 29 calon berpotensi telah disenarai pendek selepas temuduga tersebut.

Saiful memberitahu pihaknya tidak berkompromi di dalam membenteras gejala dadah di Sibu kerana ianya punca kepada banyak kegiatan jenayah yang lain.

Sebanyak 45 peratus kes jenayah yang dilaporkan di Sibu melibatkan dadah di mana 14 daripada 28 penjenayah yang ditahan tujuh bulan pertama tahun ini adalah positif dadah.

Katanya, anggota polis Sibu juga tidak lepas daripada ujian air kencing secara rawak bagi mengelak penyalahgunaan dadah di kalangan anggota beruniform tersebut. – dayakdaily.com