Polis tahan penjawat awam jadi ‘runner’ dadah

SERIAN : Seorang penjawat awam yang disyaki bertindak sebagai ‘runner’ atau pengantara kepada sindiket pengedaran dadah di daerah ini ditahan polis di kawasan berhampiran sebuah bank di sini.

Suspek berusia 36 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada pukul 1.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, tangkapan ke atas suspek yang bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di Kuching adalah susulan kepada kejayaan menahan lima lelaki berusia 18 hingga 35 tahun pada Rabu lalu.

Katanya, semasa ditahan, polis telah merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 2.5 gram yang dianggarkan bernilai RM650.

“Siasatan awal mendapati suspek telah bertindak sebagai ‘runner’ pengedaran dadah sejak lima bulan lalu.

“Modus operandi yang dilakukan oleh suspek ialah dengan menghantar dadah kepada pelanggan yang membuat pembayaran tunai menerusi akuan bank,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Serian, semalam.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek terbabit turut memiliki tiga rekod jenayah lampau.

Dedah beliau lagi, suspek dipercayai menerima habuan lumayan berdasarkan nilai dadah yang dihantar kepada pelanggan mereka.

“Lelaki tersebut kini ditahan reman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya lagi. -dayakdaily.com