Polis Sarawak tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota terlibat jenayah

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang akhbar di IPK Sarawak. Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar (kiri). - dayakdaily.com

KUCHING – Polis Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat dalam salah laku jenayah sekali gus boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal berkata, mana-mana pegawai atau anggota polis yang dibuktikan terlibat dalam salah laku jenayah akan dihadapkan ke mahkamah atau diambil tindakan tatatertib.

Menurutnya, enam anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor telah ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes peras ugut terhadap dua individu.

“Kesemua suspek ditahan berasingan di rumah serta tempat kerja mereka di Kuching, Padawan dan Lundu sekitar pukul 10 malam hingga 3 pagi tadi.

“Tangkapan ini dilakukan susulan laporan polis yang pertama diterima iaitu pada 3 Ogos lalu dan laporan polis kedua diterima semalam (8 Ogos) berhubung kes peras ugut dengan meminta wang.

“Salah seorang yang diberkas berpangkat Inspektor dan bertugas di Cawangan Perlesenan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, manakala lima anggota lain adalah pangkat rendah yang bertugas di cawangan-cawangan yang berbeza di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sebelah pagi tadi, Majistret Zulhairil Sulaiman telah memerintahkan keenam-enam suspek yang berusia 25 hingga 53 tahun itu ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga 11 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek yang berpakaian lokap tiba di Bangunan Mahkamah Kuching pada pukul 9.30 pagi sebelum keluar kira-kira sejam kemudian. – dayakdaily.com