Polis kenal pasti 17 lokasi kemalangan maut di Sarawak

KUCHING – Polis Sarawak mengenalpasti terdapat 17 buah lokasi kerap berlaku kemalangan maut di seluruh negeri ini.

Antara lokasi tersebut ialah KM2, Jalan Bau-Lundu; KM9, Jalan Bau-Lundu; KM1, Jalan Datuk Mohd Musa; KM6, Jalan Datuk Mohd Musa; KM11, Jalan Datuk Mohd Musa dan KM16, Jalan Datuk Mohd Musa.

Lokasi seterusnya ialah KM65, Jalan Sri Aman-Kuching; KM20, Jalan Sri Aman-Sarikei; KM53, Jalan Sri Aman-Sarikei, KM56, Jalan Sri Aman-Sarikei; KM 35, Jalan Sri Aman-Sarikei dan KM431, Jalan Betong-Sarikei-Meradong.

KM71, Jalan Sibu-Bintulu; KM79, Jalan Sibu-Bintulu; KM114, Jalan Sibu-Bintulu; KM1, Jalan Lawas-Trusan dan KM4, Jalan Lawas-Merapok turut dikenal pasti sebagai laluan maut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, pelancaran Op Selamat 11 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri telah dilancarkan bermula 18 Jun sehingga 2 Julai depan.

Tema Op Selamat 11 ujar beliau masih mengekalkan tema yang sama iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Tujuan Op Selamat ini adalah untuk memberi kesedaran serta menanam nilai-nilai murni kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan aspek keselamatan ketika memandu.

“Antara lain, ia juga bertujuan untuk memastikan premis dan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat daripada sebarang perlakuan jenayah,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Kuching Sentral di sini semalam.

Sementara itu, mengikut statistik kemalangan jalan raya bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu, terdapat penurunan 14 kes kemalangan maut atau 162 kes berbanding 176 kes yang direkodkan tahun 2016.

Bagaimanapun, rekod kemalangan parah pula menunjukkan peningkatan sebanyak 20.5 peratus atau 16 kes iaitu 94 kes berbanding 78 kes tahun lalu.

Begitu juga dengan jumlah kemalangan ringan yang direkodkan turut menyaksikan pertambahan kes sebanyak 7.1 peratus atau 135 kes daripada 126 kes pada 2016.

Namun, kemalangan rosak pula menunjukkan penurunan sebanyak 68 kes iaitu 8,529 kes berbanding 8,597 kes tahun terdahulu.-dayakdaily.com