Polis guna “taser” tahan wanita cuba bunuh diri


KUCHING – Tindakan pantas pasukan polis berjaya menyelamat nyawa seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan membakar dirinya dalam satu kejadian di Kampung Bintawa di sini tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, anggota polis terpaksa menggunakan pistol renjatan elektrik atau ‘taser gun’ selepas usaha mententeramkan wanita berusia 40 tahun tersebut menemui jalan buntu.

Menurutnya, tindakan segera dengan menggunakan pistol renjatan elektrik perlu dilakukan bagi mengelak wanita berkenaan bertindak untuk membakar dirinya.

“Ini kerana, sebelum kehadiran anggota polis, wanita itu telah menyimbah anggota badannya dengan menggunakan minyak petrol dengan niat untuk membunuh diri.

“Menyedari tindakan wanita berkenaan, ibunya yang berusia 73 tahun segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Mengulas lanjut, Abang Ahmad memberitahu, selepas ‘menembak’ wanita tersebut dengan menggunakan pistol renjatan elektrik, polis kemudian bertindak menahannya.

Katanya, sejurus menangkap wanita berkenaan, polis kemudian merampas satu botol plastik bekas minyak petrol, pisau pemotong kek, baju dan seluar wanita berkenaan.

“Wanita tersebut kini ditahan reman selama empat hari dan dia akan dibawa ke hospital mental bagi menjalani pemeriksaan menentukan status pemikirannya,” katanya lagi. – dayakdaily.com