Piala Perpaduan ADUN N15, Tuah Milik Pasukan Empila F.C

Pasukan Empila F.C merakam gambar kenangan selepas menjuarai Piala Perpaduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N15 Edisi Ke-51 - dayakdaily.com

KUCHING: Tuah ternyata milik pasukan Empila F.C apabila dinobatkan juara kejohanan bola sepak Piala Perpaduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N15 Edisi Ke-51 setelah berjaya menewaskan pasukan Jass F.C pada perlawanan akhir yang berlangsung di padang bola sepak Kampung Sambir, Asajaya, Ahad lalu.

Empila F.C menang menerusi sepakan penalti 6-5 setelah kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dengan kemenangan itu, Empila F.C membawa balik hadiah wang tunai sebanyak RM 5,000, piala pusingan, piala iringan berserta pingat.

Selaku naib johan Jass F.C meraih hadiah wang tunai sebanyak RM 3,000, piala dan pingat.

Sementara itu, pasukan Sampun F.C dan Telaga Air yang tewas di peringkat separuh akhir dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga bersama.

Kedua-dua pasukan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, piala dan pingat.

Kejohanan yang telah dijadikan acara tahunan setiap kali Hari Raya Aidilfitri itu telah berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 penonton khasnya di Bahagian Samarahan.

Hadiah kepada pemenang pertandingan telah disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. – dayakdaily.com