Petros, syarikat cari gali minyak dan gas milik kerajaan Sarawak ditubuhkan

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semalam secara rasmi mengumumkan penubuhan sebuah syarikat cari gali minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri yang dikenali sebagai Petroleum Sarawak (Petros).

Menurut beliau, penubuhan Petros merupakan satu langkah tepat yang diambil kerajaan negeri dalam usaha membolehkan Sarawak terlibat secara aktif dalam penerokaan serta pengeluaran gas dan minyak di kawasan perairan Bumi Kenyalang.

Abang Johari juga memberitahu, Ahli Lembaga Pengarah Petros juga telah dilantik dengan kesemua mereka memiliki pengalaman yang luas dalam industri penerokaan minyak dan gas.

“Saya ingin memaklumkan tiada seorang pun daripada mereka (ahli lembaga pengarah) dalam syarikat berkenaan yang mempunyai latar belakang sebagai ahli politik.

“Dengan ini, saya secara rasmi mengumumkan penubuhan Petros iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, Abang Johari dipetik sebagai berkata,syarikat cari gali minyak dan gas luar pantai berkenaan dijangka memulakan operasinya dalam tempoh enam bulan lagi.

“Kita sedang dalam proses menubuhkan syarikat berkenaan (Petros) dan ia adalah 100 peratus milik kerajaan negeri. Kita juga akan bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Sebelum ini, syarikat minyak dan gas dari Sarawak hanya terlibat dengan aktiviti minyak dan gas hiliran di Bintulu dengan anggaran pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM8.6 bilion),” katanya.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, kerajaan negeri telah melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif bagi penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (BPS).

Jelas beliau, Ketua Pegawai Eksekutif BPS itu akan mempunyai pasukannya sendiri, namun ia di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

“Antara lain, kita sedang merangka satu pendekatan bagi meluaskan kapasiti Yayasan Sarawak khususnya dalam pinjaman pelajaran dan biasiswa kepada anak jati Sarawak untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi dalam serta luar negara,” ujarnya lagi. -dayakdaily.com