Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu mahu terus turunkan indek jenayah

Mazlan (kiri) menyerahkan tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada Amer
 - dayakdaily.com

KUCHING: Tumpuan akan terus diberikan untuk menurunkan indek jenayah di negeri ini bagi memastikan masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, Datuk Amer Awal berkata,adalah penting untuk menaruh kepercayaan yang tinggi masyarakat kepada pihak polis.

“Anggota dan pegawai perlu bekerja dalam satu pasukan bagi membendung kegiatan jenayah hingga ke peringkat akar umbi,” katanya katanya di Majlis Serah/Terima Tugas di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Amer yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Kepolisan Am) Bukit Aman dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang berpindah sebagai Ketua Polis Selangor bermula 7 Julai lalu.

Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Katanya, untuk menurunkan indek jenayah tumpuan yang akan diberikan ialah dengan meningkatkan aktiviti pencegahan jenayah dan memastikan penjenayah akan mendapat hukuman setimpal apabila kes dibawa ke mahkamah.

“Saya juga akan memberi tumpuan kepada kes buli yang berlaku di sekolah dan hanya melalui pencegahan awal perkara ini dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, walaupun memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak dalam masa yang singkat beliau sangat berpuas hari apabila berjaya menurunkan indek jenayah.

“Saya telah mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sarawak ke arah penambahbaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya. – dayakdaily.com