Pertelingkahan Nazri dan Abdul Karim dapat diselesaikan atas tradisi semangat setiakawan BN

Minister of Tourism, Arts, Culture, Youth and Sports.

SIMUNJAN – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin pergeseran atau pertelingkahan pendirian di antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah dapat diselesaikan dalam prinsip serta tradisi semangat setiakawan BN.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, isu berkenaan yang kini tural diperdebatkan harus diselesaikan dengan cara terbaik bukannya dipanjangkan.

“Dalam BN kita ada prinsip musyawarah, kita ada prinsip setiakawan, prinsip konsensus..tak perlu isu ini dipanjangkan di media.

“Lebih baik ia diselesaikan dan saya percaya ia dapat diselesaikan sebab dasar itu perlu dibincangkan antara Menteri dan Menteri…saya bukan Menteri Pelancongan, tetapi saya boleh komen dari segi BN sebagai Pengerusi Pemuda BN,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum mengetuai larian obor Sukan SEA 2017 di Jambatan Batang Sadong di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Karim memberitahu, beliau juga tidak mahu isu berkenaan dipanjangkan dan terus diperdebatkan.

“Tak perlulah (ulas lanjut) Yang Berhormat Khairy dah katakan tadi selesaikan dengan cara baik.

“Bagi diri saya itu tidak jadi masalah dalam bulan Ramadan tidak perlu melenting-lenting,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri menarik balik penyertaan wakilnya dalam Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB), Abdul Karim memberitahu, keputusan tersebut sudah lama dibuat dan bukan disebakan pertelingkahan tersebut.

“Memang kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengeluarkan wakil daripada lembaga pelancongan itu kerana kita melihat kita ada entiti kita sendiri iaitu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang menjalankan peranan yang sama.

“Kita tidak mahu duplikasi dan keputusan itu tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di antara kementerian saya dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

“Kemungkinan ia berlaku pada masa sama,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Sarawak, Abdullah Saidol menegaskan kenyataan sombong dan nada angkuh Nazri tidak mengejutkan.

Jelasnya, beliau masih ingat kenyataan Nazri pada bulan September tahun lepas apabila mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak akan mendapat bantuan dari Kementerian Pelancongan Malaysia jika kedua-dua negeri ini memilih untuk tidak menguatkuasakan Tourism Services Act (TSA).

“Cadangan TSA ini juga mendapat bantahan dari Sabah dan MATTA. Nazri yang mengaku diri orang lama dalam politik tidak perlu menunjuk sikap melenting beliau dengan memperkecilkan kedudukan Karim sebagai Menteri sebuah negeri,” ujarnya lagi.

Abdullah menambah, Nazri tentu lebih arif dan sepatutnya lebih sensitif tentang sentimen politik yang sedang hangat dimainkan di Sarawak terutama tentang hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia, isu peruntukan pembangunan dari Persekutuan dan janji-janji pilihan raya yang tidak ditunai oleh Menteri-menteri Persekutuan.

Katanya, sebagai orang yang mengaku diri “menteri lama dan berpengalaman” dan pernah memegang Portfolio Hal-Ehwal Undang-Undang, tentu Nazri arif tentang sejarah Perjanjian Malaysia serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita bukan mempertikaikan tentang hak Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan kutipan cukai. Peruntukan tersebut memang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi kami ingin menyuarakan kekecewaan kami tentang layanan serta sikap Kerajaan Pusat yang tidak membawa perkara ini melalui rundingan yang serius dengan Kerajaan Negeri.

“Putrajaya harus diingatkan tentang 13 Perkara ‘Administrative Empowerment’ yang di serahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang telah dipersetujui antara Allahyarham Tok Nan dgn YAB PM semasa perjumpaan di Putrajaya pada 21 Jan 2016,” jelasnya.

Antara lain katanya, telah dipersetujui bahawa ‘Kerajaan Negeri haruslah dimaklum dan dibawa berbincang tentang apa-apa cadangan untuk menggubal sebarang undang-undang yang akan memberi kesan kepada kedudukan negeri terutama yang membawa impak pada kewangan.

Katanya, Nazri perlu diingatkan bahawa perkara ‘Pelancongan’ hanya dimasukkan dalam Senarai Federal dalam tahun 1994 melalui Akta A885 Parlimen.

“Kerajaan Negeri tidak pernah dimaklumkan awal, dibawa berunding atau tiada kelulusan dari Kerajaan Negeri sebelum penyenaraian perkara ‘Pelancongan’ dalam Federal List dilakukan.

“Seperkara lagi ialah, Nazri adalah Menteri yang membentangkan Territorial Sea Act, 2012 (TSA) di Parlimen pada 18 April 2012 dan diluluskan pada hari yang sama…Tiada seorang pun Ahli Parlimen dari Sarawak termasuk dari Pembangkang hadir semasa TSA diluluskan,” katanya.

TSA adalah antara undang-undang controversy yang sering dibincangkan termasuk Petroleum Development Act (PDA) bila isu Royalty Minyak & Gas dibangkitkan.

TSA dianggap sebagai undang-undang yang merampas hak negeri ke atas Continental Shelf.

Jika dikaji secara mendalam ujar Abdullah, mungkin TSA ini tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.

“Saya tidak peduli kedudukan Nazri yg mengaku “Samseng Besar” di Putrajaya, orang yang banyak kelemahan memang cepat mengaku dirinya besar dan bongkak.

“Yang penting ialah tanda hormat dan saling memahami tentang kedudukan negeri Sarawak dalam Malaysia. Jika persepsi majoriti rakyat Sarawak bahawa Putrajaya tidak ikhlas, mungkin BN kena kerja keras dalam PRU akan datang ini.

“Jika pemimpin seperti Nazri terus menunjukkan keangkuhan politik sebegitu kepada sebuah negeri yang sentiasa konsisten dan banyak menyumbang kemenangan BN dalam PRU, jangan terkejut jika rakyat yang semakin meluat akan bertindak balas,” tambahnya.

Kata Abdullah lagi, polisi serta kejayaan agenda politik BN sama ada di peringkat nasional atau negeri semakin diyakini tapi rakyat mahu pemimpin-pemimpin politik yang sentiasa menunjuk kesungguhan, kerajinan dan keberanian.

“Bukan pemimpin banyak retorik yang semakin sombong, angkuh serta ‘beraja di hati’,” katanya.-dayakdaily.com