Persoalan siapakah calon BN bagi PRK Pujut belum terjawab

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Teka-teki siapakah calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut pada 4 Julai depan masih belum terjawab lagi.

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, beliau sendiri belum dapat mengesahkan calon terbaik yang bakal mengibar cabaran BN di kerusi Pujut.

Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Ketua Menteri memberitahu, BN Sarawak sudah mengenalpasti beberapa calon yang bakal ditampilkan dalam PRK Pujut kelak.

“Setakat ini, saya sudah menerima beberapa nama calon, namun senarai itu perlu diteliti secara terperinci memandangkan BN bakal berdepan saingan hebat daripada parti pembangkang kelak.

“Namun, nama calon berkenaan belum dapat diputuskan lagi dalam waktu terdekat ini,” katanya di Bilik Gerakan BN Satok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sama ada BN meletakkan ‘calon langsung’ dalam pilihan raya kecil itu juga akan diteliti dan bergantung kepada keadaan semasa.

Jelasnya, calon yang bakal dipilih kelak akan diputuskan dalam mesyuarat BN Sarawak yang dijangka diadakan sebelum proses penamaan calon pada 20 Jun ini.

“Nama calon sudah ada, namun saya hanya melakukan pengumuman itu selepas mesyuarat BN Sarawak kelak.

“Kita sedar, BN Sarawak bakal berdepan getir untuk merampas balik kerusi berkenaan kerana DUN Pujut merupakan kubu kuat DAP.

“Ini bermaksud kita mesti berusaha dan bekerja kuat. Kita mesti sedar realitinya namun kemungkinan untuk menang tetap ada, bukan mudah tetapi kalau kita kerja kuat, boleh menang,” tegasnya lagi.

PRK Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei tahun lalu, Tiong Choon memenangi kerusi DUN Pujut dengan meraih 8,899 undi mengatasi calon BN, Datuk Hii King Chiong yang meraih 7,140 undi manakala calon PAS, Jofri Jaraiee (413) dan Fong Pau Teck dengan 375 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Pujut pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun ini.-dayakdaily.com