Persiapan raya terjejas, enam keluarga tinggal sehelai sepinggang

Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah rumah sudah musnah terbakar sepenuhnya kerana api cepat merebak. - JBPNS

KUCHING – Enam buah keluarga bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang, malah segala persiapan Hari Raya mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bintawa di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua 46 penghuni di enam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran kira-kira pukul 11.10 pagi itu.

Seorang mangsa, Mohd Yusri Safuan berkata, dia berada dalam bilik semasa kebakaran berlaku dan hanya menyedarinya apabila terhidu bau hangit.

Katanya, dia bergegas keluar dan terkejut melihat api sudah marak membakar rumah jiran mereka.

“Tanpa berlengah, saya terus memanggil ahli keluarga saya untuk keluar menyelamatkan diri.

“Kami tidak sempat menyelamatkan dokumen penting termasuk baju dan kuih raya kerana api marak terlalu cepat. Namun, saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.15 pagi.

Katanya, 34 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuching, BBP Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah rumah sudah musnah terbakar sepenuhnya kerana api cepat merebak.

“Dalam kejadian sama, dua rumah terbakar kira-kira 90 peratus, sebuah (30 peratus) dan dua lagi (20 peratus).

“Tindakan pantas anggota mengawal kebakaran berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berstruktur kayu berdekatan,” katanya.

Sambil menambah, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. – dayakdaily.com