Peras ugut: Lima anggota polis mengaku tidak bersalah

KUCHING : Lima anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memeras ugut tiga individu pada 31 Julai dan 3 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh terbabit, Joslin Savantil, 53; Mohd. Aslan Rasgan, 33; Hamizam Hamdi Chia, 32; Muhamad Mustaqim Che Ismail, 31; dan Muhammad Noor Faiz Khaliddi, 25, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membaca pertuduhan terhadap mereka.

Kelima-lima lelaki tersebut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Afidah Abdul Rahman di kamar Mahkamah Sesyen 1, Hakim Timothy Finlayson Joel (Mahkamah Sesyen 2) dan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad (Mahkamah Sesyen 3).

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Pendakwaan kes di Mahkamah Sesyen 1 dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala Ahmad Fariz dan Haresh Prakar mengendalikan pendakwaan di Mahkamah Sesyen 2.

Pendakwaan kes di Mahkamah Sesyen 3 pula dikendalikan oleh Nor Azahari Yusof.

Empat tertuduh diwakili oleh peguam, Shankar Ram Asnani, manakala Muhammad Noor Faiz diwakili Hani Iryani Bonay.

Kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin beralamat tetap dan gaji sekurangnya RM1,500 dan diperintahkan menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran pada hari Jumaat dua minggu sekali.

Mahkamah sama kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 25 September depan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Joslin, Mohd. Aslan dan Muhammad Noor Faiz cuba memeras ugut seorang lelaki, Azhar Jamil, 20, ekoran memiliki barang seludup iaitu rokok tanpa cukai di sebuah kedai runcit di Jalan Batu Lintang kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 31 Julai lalu.

Muhamad Mustaqim dan Joslin juga didakwa memeras ugut Chin Li Li, 34, kerana memiliki rokok seludup di sebuah kedai runcit di Taman Sri Harmoni, Batu 8, Jalan Matang pada pukul 8.30 malam, 3 Ogos lalu.

Muhamad Mustaqim dan Hamizam turut didakwa memeras ugut Titik Tisen, 66, yang menganjurkan loteri haram dan judi holo bagi rasa takut di sebuah rumah di Kampung Temaga Dayak di Sematan kira-kira pukul 6.30 petang, pada 3 Ogos lalu. – dayakdaily.com