Penunggang motosikal maut rempuh kereta

Motorbike accident. DayakDaily file pic. // Photo: Pixabay

SERIAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dikatakan gagal mengawal motosikalnya sehingga merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa dikenali sebagai Lester Sela berusia 49 tahun dan berasal dari Kampung Tubih Mawang.

Menurutnya, kemalangan berlaku di kilometer 35 Jalan Serian- Tebedu sekitar jam 3.10 pagi tadi.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikalnya telah memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba.

“Pemandu kereta dari arah (bertentangan) cuba mengelak dari melanggar mangsa namun tidak berjaya sehingga berlaku perlanggaran.

“Mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik,” Katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.

Anggota dari cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Bingkok.