Penunggang Kawasaki Versys 650 maut rempuh lori

Mangsa difahamkan bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menunggang motosikal jenis Kawasaki Versys 650 dari arah bandar raya Kuching ke Serian. sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dikatakan gagal mengelak daripada merempuh sebuah lori yang tiba-tiba terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan. - PDRM

SERIAN – Seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh sebuah lori yang terbabas lalu terbalik di Kilometer 54, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 8.06 pagi itu, mangsa, Mohd. Mukhairiz Suhaili, 24, yang menetap Taman Matang Jaya di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang difahamkan bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menunggang motosikal jenis Kawasaki Versys 650 dari arah bandar raya Kuching ke Serian.

Menurut beliau, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dikatakan gagal mengelak daripada merempuh sebuah lori yang tiba-tiba terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan.

“Impak rempuhan yang kuat mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya sebelum kepalanya terhantuk pada besi pembahagi jalan di situ.

“Namun, pemandu serta dua kelindan lori jenis tiga tan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain yang terlibat sama dalam nahas terbabit dan cuaca juga dilaporkan baik semasa kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – dayakdaily.com