Penularan wabak rabies di Kalimantan Barat semakin membimbangkan

Penduduk di sempadan Indonesia turut bimbang dengan wabak rabies yang menular ke kawasan penempatan mereka. - dayakdaily.com

PONTIANAK – Penularan wabak rabies di Kalimantan Barat, Indonesia semakin membimbangkan dengan angka korban akibat jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan kian meningkat.

Sehingga kini, pihak pemerintah di wilayah Kalimantan Barat melaporkan terdapat lapan kes kematian berlaku melibatkan mangsa yang disyaki positif rabies.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas akibat penularan wabak rabies ialah di Kecamatan Sekayam, Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat.

Ketua Bahagian Makanan, Penternakan dan Kesihatan Haiwan Kalimantan Barat, Abdu Manaf Mustafa berkata, pihaknya percaya masih terdapat kes kematian akibat wabak rabies itu, namun belum dilaporkan.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya kini giat melakukan operasi pengesanan dan melakukan kerja-kerja pemvaksian anti-rabies di sekitar kawasan Kecamatan Sekayam, Kabupaten Sanggau.

“Sehingga kini, kita syaki terdapat kes korban akibat jangkitan virus rabies tidak dilaporkan.

“Kita cuma menerima lapan kes kematian akibat wabak ini selepas mangsa dilaporkan digigit anjing peliharaan atau anjing liar di daerah itu” katanya.

Abdu Manaf menambah, susulan penularan wabak itu, pihak berkuasa tempatan sudah melakukan kerja-kerja pemvaksian selain memberi keterangan kepada masyarakat umum di situ tentang bahayanya jangkitan virus rabies kepada mereka.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan juga telah melakukan aktiviti kawalan dan pecegahan di kawasan-kawasan yang terdapat anjing yang positif rabies.

“Penduduk setempat mesti dimaklumkan tentang bahayanya virus rabies ini kerana belum ada ubat yang boleh mengubati mangsa rabies,” ujarnya lagi. – dayakdaily.com