Penjenayah bersenjatakan parang pecah masuk rumah di Tematu Hill

KUCHING – Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila dua penjenayah bersenjatakan parang memecah masuk rumah mereka di Taman Tematu Hill, Jalab Stephen Yong di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, penjenayah terbabit turut melarikan sebuah Toyota Avanza selain dua unit televisyen, telefon bimbit serta wang tunai milik keluarga tersebut.

Jurucakap polis memberitahu, kejadian itu disedari oleh isteri kepada pengadu semasa dia sedang membawa anaknya pergi buang air di sebuah bilik tandas di kediaman berkenaan.

Menurutnya, terkejut dengan kehadiran penjenayah itu, wanita terbabit kemudian cuba menjerit meminta tolong, namun dia ditumbuk hingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian bibirnya.

“Suaminya yang sedar dengan kejadian itu kemudian cuba membantu, tetapi seorang daripada penjenayah terbabit telah bertindak menghalangnya dengan menggunakan sebilah parang sebelum mengikat tangannya dengan wayar.

“Selepas mengeledah rumah mangsa, kedua-dua penjenayah itu kemudian melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, selepas berjaya membuka ikatan pada tangannya, pengadu segera menghubungi adiknya untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan tindakan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati, penjenayah terbabit dipercayai memasuki kediaman itu selepas memotong jeriji besi tingkap.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada
kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kediaman tersebut,” ujarnya lagi.

Polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat. dayakdaily.com