Penghuni Rumah Panjang Ejau Ulu Lubai kini boleh mengukir senyuman menjelang Gawai Dayak

Sebelum adanya bekalan air paip, Kayoh Mandoh terpaksa ke sungai untuk mengambil bekalan air diperlukan keluarga nya. - dayakdaily.com

LIMBANG – Penantian ratusan penghuni Rumah Panjang Ejau Ulu Lubai di sini untuk menikmati bekalan air bersih sejak berpuluh-puluh tahun lalu akhirnya menjadi realiti hasil inisiatif iM Sarawak yang melaksanakan projek Bekalan Air iM Sarawak iaitu kerja-kerja penyambungan saluran paip di kawasan berkenaan.

Projek berkonsepkan gotong royong yang menyambung saluran paip sejauh enam kilometer dari Empangan Sungai Mundop ke Rumah Panjang Ejau telah dilaksanakan selama lima bulan bermula November 2015 dan berjaya disiapkan April 2016.

Sebelum adanya kemudahan saluran paip baharu itu, para penduduk rumah panjang tersebut terpaksa mengangkut bekalan air menggunakan baldi dan gelen dari sungai berhampiran untuk kegunaan harian.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berisiko untuk menghidap pelbagai penyakit akibat pengambilan bekalan air sungai yang kotor.

Seorang penduduk, Kanyoh Mandoh 60-an, berkata beliau terpaksa mengerahkan sepenuh kudratnya mengangkut air dari sungai berhampiran untuk kegunaan ahli-ahli keluarganya.

Katanya, sebelum itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menggunakan bekalan air sungai yang kotor.

“Letih memang letih kerana mengangkut air berbaldi-baldi dari sungai berhampiran ke rumah panjang.

“Kami tiada pilihan selain bergantung kepada sungai berdekatan walaupun air agak keruh dan kotor,” ujarnya sambil melahirkan kesyukuran terhadap usaha yang dilaksanakan iM Sarawak di situ.

Meng Ngelambung, 49, pula mengakui sebelum adanya projek iM Sarawak itu, bekalan air bersih amat sukar diperoleh terutama ketika menyambut hari perayaan atau majlis-majlis tertentu.

“Kami terpaksa mandi dan minum menggunakan air sungai yang agak kotor tanpa ada alternatif lain pada masa itu.

“Malah, apabila tibanya musim perayaan khususnya semasa Hari Gawai, keadaan itu bertambah kritikal.

“Jadi, untuk memastikan bekalan air cukup, kami terpaksa mengangkut air tidak kira siang dan malam. Kerja itu memang meletihkan, namun kami tiada pilihan ketika itu,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai bekalan air paip baharu itu, dia berkata, penduduk rumah panjang di situ kini boleh menarik nafas lega selepas mendapat bekalan air bersih selama 24 jam di rumah masing-masing.

Tuai Rumah, Ebau Kedit, 58, turut bersyukur dengan keprihatinan kerajaan melalui iM Sarawak yang banyak membantu dengan perlaksanaan projek bekalan air iM Sarawak di rumah panjang mereka.

“Seramai 135 penduduk rumah panjang ini kini boleh mengukir senyuman selepas menikmati kemudahan air bersih terutama semasa sambutan Hari Gawai kali ini.

“Gawai tahun ini pasti lebih meriah berbanding tahun sebelumnya kerana penduduk tidak lagi berdepan masalah bekalan air.

“Selain bekalan air, kami berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan asas lain seperti jalanbraya, jaringan komunikasi dan kemudahan lain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, sebelum ini penduduk rumah panjang berkenaan hanya bergantung kepada bekalan air graviti.

Bagaimanapun ujarnya, mereka berdepan kerosakan dan tekanan air rendah terutama ketika memenuhi permintaan dan keperluan pada musim perayaan dan keramaian.

“Bagi menangani masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di situ, kerajaan melalui iM Sarawak melaksanakan projek berkonsepkan komuniti dengan menukar paip lama jenis PVC kepada jenis HDPE dari Empangan Sungai Mundop hinga ke rumah panjang tersebut,” katanya.

iM Sarawak merupakan satu organi yang banyak menjalankan projek berkonsepkan komuniti sejajar dengan penubuhannya untuk memberikan nasihat, pandangan dan cadangan tentang keperluan rakyat Sarawak di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar. – dayakdaily.com