Penduduk di Kg Peraya, Padawan diserang 20 lelaki bersenjatakan samurai dan senapang patah

Tiga daripada suspek yang telah berjaya ditangkap

PADAWAN, 25 Okt: Tiga lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat menyerang enam penduduk Kampung Peraya, di sini semalam (Ahad).

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6 petang ketika semua mangsa sedang membaiki kereta di sebuah bengkel.

Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit bersama kira-kira 17 lagi lelaki bersenjatakan parang samurai, besi kuantaw, kayu hoki dan ada seorang suspek dilihat membawa senjata menyerupai senapang patah.


Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun cedera ditetak di tangan kiri dan seorang lagi mangsa berusia 26 tahun cedera di badan dan lain-lain mangsa sempat menyelamatkan diri.

Kumpulan suspek juga dikatakan merosakkan beberapa buah kenderaan di dalam bengkel tersebut dan melarikan telefon bimbit mangsa.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan tiga daripada suspek telah berjaya ditangkap hari ini.

Dua daripada suspek berusia 28 dan 30 tahun ditangkap di Siburan dan seorang lagi suspek berusia 30 tahun ditangkap di Batu 13 Jalan Kuching-Serian.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233. — DayakDaily.