Penantian lebih 20 tahun penduduk Bidayuh di Tringgus berakhir

Selama lebih 20 tahun, penduduk di kawasan Tringgus terpaksa melalui jambatan buluh yang kini akan tinggal kenangan dengan adanya jambatan baru ini.

BAU – Penantian lebih 20 tahun penduduk di kawasan Tringus untuk memiliki sebuah jambatan besi yang menyeberangi Sungai Tringgus di sini berakhir apabila kemudahan baharu itu bakal digunakan menjelang Gawai ini.

Kerja-kerja pembangunan jambatan besi menerusi projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dibina dengan kos kira-kira RM600,000 itu kini siap 95 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, pembinaan jambatan besi yang diselia pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) itu sepanjang 42.67 meter, ketinggian 7.62m dan 3.65m lebar bakal memberi manfaat kepada tiga buah kampung di sini iaitu Kampung Bong, Kampung Matan Nguan serta Kampung Rabak Rotan.

Menurut beliau, sebelum ini, kira-kira 1,500 penduduk di tiga buah kampung di sini terpaksa menggunakan jambatan buluh untuk ke sekolah dan kawasan perkuburan di situ.

“Jadi, dengan adanya kemudahan baharu ini para penduduk terutamanya golongan petani dan pelajar di kampung tersebut tidak lagi perlu risau tentang keselamatan mereka.

“Sebelum ini, mereka amat bimbang dengan tahap keselamatan masing-masing kerana setiap kali melintasi jambatan buluh lama di sini memandangkan ia seakan-akan mahu roboh,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak Jambatan Tringgus di sini hari ini.

Dalam pada itu, Miro turut melahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan pembinaan jambatan besi yang diluluskan oleh ADUN Bengoh, Datuk Dr Jerip Susil sebelum ini.

Kini beliau merupakan ADUN Mambong.

Jelas Miro, projek seumpamanya amat dinanti-nantikan oleh penduduk di sekitar Tringgus kerana dapat memudahkan lagi rutin harian mereka.

“Kini, penduduk di tiga kampung di sini lebih yakin dan selesa menggunakan jambatan besi yang lebih kukuh serta stabil.

“Sehubungan itu, saya yakin dengan siapnya jambatan ini ia bakal mengubah landskap dan ekonomi pembangunan di Tringgus sekali gus memacu sektor eko-pelancongan di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga merancang untuk menubuhkan Pusat Maklumat Pelancongan (TIC) di kampung berkenaan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di situ.

Katanya, kewujudan pusat maklumat tersebut penting bagi memberi informasi yang berkesan kepada para pelancong sekali gus meningkatkan industri pelancongan di situ.

“Apabila pelancong datang, mereka dapat maklumat tentang kawasan menarik di situ sekali gus memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan,” katanya. – dayakdaily.com