Penantian 50 tahun Penduduk Kampung Salak berakhir

projek bekalan air bersih yang memakan kos sebanyak RM5.9 juta itu merupakan satu lagi bukti keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

SANTUBONG – Penantian lebih 50 tahun penduduk Kampung Salak dekat sini untuk menikmati bekalan air bersih bakal berakhir apabila mereka boleh menikmati kemudahan asas itu dalam tempoh terdekat ini.

Penghulu Wahid Mat, 60, berkata, sambutan Hari Raya pada tahun ini amat bermakna buat kira-kira 700 penduduk kampung di situ kerana mereka dapat menggunakan bekalan air bersih tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau mewakili penduduk kampung tersebut ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta kedua-dua wakil rakyat di situ iaitu Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi kerana prihatin dengan nasib penduduk di situ.

“Sudah terlalu lama kami menunggu projek bekalan air bersih luar bandar ini. Tidak lama lagi kami boleh menikmati kemudahan itu dan sudah tentu kami semua gembira sangat.

“Meskipun bekalan air bersih itu belum dapat digunakan semasa sambutan Aidilfitri pada hujung minggu ini, kami tetap bersyukur kerana ia merupakan hadiah raya daripada kerajaan kepada kami semua,” katanya ketika ditemui di Kampung Salak dekat sini.

Seorang lagi penduduk, Hassan Di, 57, berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana projek bekalan air bersih yang dinanti-nantikan selama ini akan memudahkan kehidupan seharian mereka.

Imam Masjid Kampung Salak itu juga memberitahu, dengan adanya kemudahan air itu, para jemaah juga dapat mengambil air wuduk dengan senang tanpa perlu mengambil air hujan yang ditadahkan.

“Selain itu, kehidupan harian penduduk kampung ini turut akan menjadi lebih mudah kerana tidak perlu bersusah-payah mengangkut air dari sungai setiap hari untuk memasak, mandi dan mencuci pakaian,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar memberitahu, projek bekalan air bersih yang memakan kos sebanyak RM5.9 juta itu merupakan satu lagi bukti keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di negara ini.

“Saya cukup berbangga kerana penduduk kampung ini telah bersabar dalam tempoh lama untuk menikmati kemudahan asas ini.

“Akhirnya kerja-kerja pemasangan paip bagi menyalurkan bekalan air bersih ke kampung ini dapat digunakan tidak lama lagi,” katanya.-dayakdaily.com