Pemotong rumput ditemui mati

MIRI : Seorang pemotong rumput berusia 27 tahun ditemui mati di kediamannya di Taman Jelita, di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, kali terakhir dia dilihat semasa minum-minuman keras bersama beberapa rakannya yang datang ke rumahnya pada hari Ahad.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh ahli keluarganya yang berusaha menghubunginya dalam tempoh tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, semasa kejadian mangsa tinggal bersendirian di rumah manakala ibunya pergi ke kebun kelapa sawit di Lapok Marudi.

“Kita menerima maklumat berhubung kejadian ini jam 1.53 pagi sebelum polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan kerana keadaan rumah tidak berselerak dan barang berharga milik mangsa juga tidak hilang.

“Pemerhatian ke atas mayat juga tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku,” katanya.

Katanya,mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-dayakdaily.com