Pemergian Datuk Ir. Daud kehilangan besar buat Sarawak

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman meninggalkan seorang balu, Datin Noraini Hussin serta tiga orang anak.

KUCHING – Pemergian bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman, 66, yang telah meninggal dunia akibat sakit jantung disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, beliau secara peribadi kehilangan seorang sahabat, begitu juga rakyat di negeri ini kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa dan dihormati.

“Saya baru balik dari Pusat Perubatan Timberland di sini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Pemergian Allahyarham sangat dirasai kerana semasa hayat beliau merupakan antara pemimpin yang sangat berdedikasi dalam membawa pembangunan kepada rakyat di negeri ini,” katanya bila dihubungi.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar kepada Sarawak amnya.

Menurutnya, selama lima penggal Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh komitmen sehingga berjaya mempertahankan Tupong sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) Sarawak.

“Khidmat cemerlang Allahyarham yang mesra rakyat, sentiasa turun padang untuk berdamping dengan rakyat, mengambil tahu dan berusaha menangani permasalahan rakyat, amat disenangi oleh rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong.

“Sesungguhnya Sarawak telah kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa, penuh dedikasi dan banyak berjasa kepada negeri Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN Sarawak,” ujarnya lagi.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Timberland di sini pada pukul 4.10 petang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Noraini Hussin serta tiga orang anak. – dayakdaily.com