Pembangunan kemudahan asas tidak perlu ambil kira projek mega

PBDS Baru President Cobbold John Lusoi — DayakDaily.com

KUCHING: Kenyataan “tiada empangan, tiada jalan” yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Dr. James Jemut Masing baru-baru ini telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan parti pembangkang.

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John berkata, sudah pasti ramai tidak bersetuju dengan Masing yang dipetik sebagai tiada keperluan untuk membangunkan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik kerana ia tidak mempunyai nilai ekonomi intrinsik sekiranya tiada pembangunan dilaksanakan di Baram.

“Kerajaan tidak sepatutnya mengambil kira pulangan yang diperoleh daripada sudut pembangunan di kawasan terbabit (Baram).

“Jika setiap pembangunan luar bandar perlu memasukkan pembangunan yang dipanggil projek mega seperti empangan hidroelektrik sebagai kriteria utama, maka secara tidak langsung membantut kemajuan di situ,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Cobbold menambah, penduduk Baram juga mempunyai hak sama seperti rakyat lain di negara ini yang memerlukan keperluan asas dan pembangunan di kawasan penempatan mereka.

“Tanpa projek mega bermakna penduduk Baram akan terus ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan kemudahan asas,” ujarnya lagi.

Semalam, Masing dipetik sebagai berkata, kerajaan kemungkinan tidak akan membina jalan raya di Long Lama-Ulu Baram, namun keperluan itu adalah berdasarkan pembangunan mega di kawasan berkenaan. – dayakdaily.com