Pembangkang sengaja seleweng fakta mengenai GST untuk kelirukan rakyat-Masir

Masir (dua kanan) bersama penduduk rumah Rose Emma Stanley, Temudok Atas, Sri Aman, mengibarkan jalur gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan negara - dayakdaily.com

SRI AMAN: Perlaksanaan dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menguntungkan rakyat dan memakmurkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat berkata, majoriti negara di dunia telah melaksanakan GST dan terbukti dasar itu memberi kebaikan terhadap perkembangan ekonomi serta masyarakat negara berkenaan.

“Dalam hal ini pihak pembangkang nampak akan kebaikan GST tetapi sengaja menyelewengkan fakta sebenar bagi mengelirukan rakyat yang tidak faham tentangnya.

“Oleh itu, rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan pembangkang yang cuba menakutkan mereka dengan mendakwa kononnya pelaksanaan GST membebankan rakyat,” katanya di Program Semarak Merdeka: Majlis Malam Mesra Pemimpin bertempat di rumah Rose Emma Stanley, Temudok Atas di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, pembangkang sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan pelbagai tohmahan dan fitnah supaya rakyat membenci kerajaan.

“GST tidak membebankan dan sudah pun dilaksanakan lebih 160 buah negara yang terbukti sangat berjaya dalam memakmurkan negara serta rakyat.

“Tidak semua cukai dikenakan terhadap semua barangan di negara ini malah GST jauh lebih murah dan berpatutan yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Katanya,pakar ekonomi telah membuat pelbagai kajian sebelum GST dilaksanakan, malah enam peratus tidak membebankan rakyat berbanding di negara lain yang cukainya jauh lebih tinggi.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat sebenar tentang pelaksanaan GST daripada kerajaan dan tidak mendengar tohmahan serta fitnah pembangkang semata-mata,”tegasnya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temudok Atas bagi membaiki atap rumah panjang mereka.