Pemandu cuai langgar lampu isyarat menyebabkan seorang warga emas maut

Pemandu cuai langgar lampu isyarat menyebabkan seorang warga emas maut.

KUCHING: Disebabkan kecuaian seorang lelaki yang dikatakan tidak memberhentikan keretanya semasa lampu isyarat bertukar kuning menyebabkan seorang penunggang motosikal terbunuh akibat dirempuh.

Difahamkan kemalangan berlaku pada jam 7 pagi semalam apabila mangsa lelaki berusia 62 tahun menunggang motosikalnya keluar dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Matang-Metro City, di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John mengesahkan mangsa Zulhady Abdullah Berasal dari Taman Sri Perkasa, Matang meninggal dunia akibat kecederaan parah semasa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Setiba di tempat kejadian, lampu isyarat berwarna kuning, namun pemandu terbabit meneruskan pemanduan dan telah terlanggar motosikal mangsa yang tiba-tiba keluar dari persimpangan kiri.

“Akibat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dihantar ke wad kecemasan HUS sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9 pagi,” kata Bingkok.


Mayat mangsa yang merupakan pesara Kementerian Pelancongan itu dibedah siasat pada jam 2 petang semalam sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.