Pelan Induk Pembangunan Teknologi Digital, bantu promosi produk pelancongan di Miri

Abang Johari (empat kanan) bersama dif kenamaan lain memotong lemang sebagai simbolik program - dayakdaily.com

MIRI: Kerajaan negeri mempunyai pelan induk berkaitan pembangunan teknologi digital di kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Bahagian Miri seiring dengan kemajuan ekonomi digital pada hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, selari gelaran bandaraya peranginan dengan pembangunan teknologi digital promosi produk pelancongan di Bahagian Miri akan menjadi lebih mudah.

“Usaha untuk mempromosikan produk pelancongan yang ada di Miri akan dapat dilakukan seantero dunia menerusi usaha kerajaan menaik taraf kemudahan aplikasi teknologi digital,” katanya di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lima Cawangan iaitu Bekenu, Lambir Piasau, Pujut dan Senadin di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Johari turut mengumumkan pemberian sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM3 juta bagi pembinaan Stadium Terbuka di daerah Subis yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita juga akan mempertimbang penukaran nama daerah Subis kepada Sibuti di masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Johari meminta semua ahli PBB di negeri ini terus mengukuhkan kerjasama.

“Ini penting bagi membantu melonjakkan pembangunan dan kemajuan di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli PBB di Miri yang sentiasa merapatkan barisan parti dan menjadikan PBB sebuah parti yang begitu kuat di kawasan Utara,” katanya.

Menjelas lanjut,katanya,meskipun pucuk pimpinan parti bertukar ganti, semangat juang yang ada dalam diri setiap ahli parti mesti sentiasa kekal kuat dan perjuangan kita seharusnya dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan sendiri.

“Ahli parti juga memerlukan inovasi dalam pendekatan yang digunakan untuk menggerakkan pembangunan negeri Sarawak dengan lebih cepat dan pantas ”, katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang selaku Pengerusi Pengelola Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Miri 2017 memohon agar Abang Johari memberi peruntukan kewangan bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah daif di kawasan Utara terutamanya di Miri.

Beliau berharap agar segala inisiatif pembangunan yang digerakkan oleh Abang Johari akan terus berjalan lancar dan terus mendapat sokongan rakyat Sarawak. – dayakdaily.com