PBDSB mencadangkan penubuhan universiti Dayak di Sri Aman

SRI AMAN: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) mencadangkan agar sebuah universiti berlandaskan Dayak dibina di Sri Aman.

PBDSB berkata perkara ini adalah amat wajar dan akan menjadikan ianya unversiti Dayak yang pertama di negeri ini.

PBDSB juga berkata pembinaan sebuah universiti di Sri Aman merupakan salah satu daripada manifesto parti dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Parti ini juga menyatakan hasrat menamakan universiti tersebut sebagai Universiti Datuk Tawi Sli bersempena dengan Ketua Menteri Sarawak yang kedua, mendiang Datuk Tawi Sli.

“Ini manifesto parti, dan sekiranya rakyat Sri Aman memberi mandat serta kemenangan kepada pihak PBDSB, saya akan mempunyai peluang mengusulkan pekara ini di Parlimen”, kata presiden PBDSB Cobbold John.

Cobbold yang juga akan calonkan untuk P202 Sri Aman untuk PRU14 berkata, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu pernah berjanji untuk membina sebuah universiti di Betong, namun ia tidak menjadi kenyataan.


“Pendidikan merupakan agenda yang amat penting bagi masyarakat Dayak dan ini bertepatan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan,” jelas Cobbold.

Menurutnya, ini juga bakal membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat pendidik disamping memperkembangkan sosio ekonomi masyarakat setempat.

“Bukan nak buat Casino di Tunoh, itu merapu dan menggalakkan perjudian. Bukan alternatif untuk meningkatkan sosio ekonomi,” katanya dengan nada sindiran.

Mengulas situasi politik dan juga kecelaruan dalaman PRS, Cobbold berkata ini akan memberikan kelebihan kepada PBDSB dan memberitahu jentera PBDSB telah bersiap sedia menentang sesiapa pun calon PRS.

“Saya tak nak komen banyak. (presiden PRS Tan Sri) James Masing dan (Datuk) Joseph Entulu kedua-dua patut mengundur diri. Mereka gagal menjalankan tugas sebaliknya berdepan dengan karma lah,” kata Cobbold.

PBDS dibubarkan ROS pada tahun 2004 dan didaftarkan kembali dengan nama PBDS Baru (PBDSB) pada tahun 2013. Pada Pilihan Raya Umum kali ini, PBDSB meletakkan Cobbold untuk bertanding di P202 Sri Aman dan Johnny Chuat untuk P203 Lubok Antu.