PBB sudah palu gendang PRU-14, sedang kenal pasti calon

KUCHING – Gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mula dipalu di Sarawak dengan
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini sedang dalam proses mengenal pasti nama yang berpotensi dijadikan calon kelak.

Presiden PBB merangkap Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pemilihan calon-calon itu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu tahap prestasi penyandang dan potensi muka-muka baharu.

Menurut beliau, parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu sedang dan akan terus membuat penilaian prestasi wakil-wakil rakyat sedia ada, sama ada mereka akan dikekalkan atau sebaliknya serta mengenal pasti calon-calon yang berpotensi diketengahkan dalam PRU-14 akan datang.

“Buat masa ini, terdapat beberapa wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen yang veteran sudah menyatakan pendirian mereka untuk bersara dan kesediaan mengundurkan diri.

“Sehubungan itu, kita sedang membuat pemantauan dan setiap perkara akan dibincang secara bersama untuk kepentingan parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari optimis PBB mampu mengulangi kemenangan bergaya pada PRU-13 lalu dengan menyapu bersih kesemua 14 kerusi yang ditandingi.

Lantaran itu jelasnya, kriteria utama yang telah ditetapkan ialah calon yang disenaraikan kelak mesti dari kalangan boleh menang dan disukai rakyat.

“Kita sedang melihat dan mengenal pasti senarai calon yang memenuhi kriteria iaitu boleh menang dan disukai rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam sidang media sama, Abang Johari turut memaklumkan Perhimpunan Agung Perwakilan PBB akan diadakan pada tahun depan.

Katanya, sebuah jawatankuasa yang diketuai pemangku Timbalan Presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah dibentuk beliau akan dibantu oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam mengendalikan perhimpunan agung itu kelak.

“Mereka akan menetapkan tarikh dan tempat perhimpunan kelak.

“Apa yang pasti, pemilihan peringkat ranting dijangka bermula pada Oktober depan,” katanya.

Perhimpunan Agung Perwakilan PBB kali terakhir diadakan pada Oktober 2013 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). – dayakdaily.com