PATI cuba lari, sembunyi atas bumbung, diserbu pihak Imigresen

PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh pihak Imigresen di tapak pembinaan sekitar bandaraya Kuching - dayakdaily.com

KUCHING: Menyedari kehadiran pihak penguatkuasa, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedang bekerja di kawasan pembinaan cuba melarikan diri.

Malah, ada yang bersembunyi di atas bumbung bangunan bagi mengelak diri daripada diberkas oleh pihak Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Bahagian Kuching.

Dalam empat siri Ops Mahir yang diadakan sekitar jam 9.30 pagi sehingga 4.15 petang semalam itu seramai 41 orang PATI telah berjaya ditahan dalam serbuan di kawasan tapak pembinaan di sekitar kawasan Kuching.

Seramai 38 anggota unit operasi termasuk Atipsom yang diketuai oleh tiga pegawai Kanan Unit Operasi, Timbalan Penolong Pengarah Kanan,TPPK Mehuen anak Runies, TPPI Hairol Asuad Usop serta TPPI Shahrul Rizal Abd Malek dan dibantu oleh beberapa pegawai kanan dari unit sokongan terlibat dalam operasi itu.

Hasil daripada operasi yang dijalankan seramai 122 orang individu diperiksa iaitu 76 lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia serta 34 lelaki serta tiga orang wanita warga tempatan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa, Garry Belayong John Siki berkata, seramai 41 PATI warga Indonesia telah berjaya diberkas, lapan lelaki serta enam wanita Indonesia ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Empat orang lelaki serta seorang wanita juga warga Indonesia turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih dari tempoh sah pas lawatan sosial.

“Saspek ditahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta yang sama. Dalam operasi yang sama, seramai 22 lelaki warga Indonesia telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perkara 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit yang sah,” katanya di sini hari ini.

“Kita tetap meneruskan operasi dan pemantauan bagi memastikan PATI di negeri ini terus dikekang termasuk juga para majikan serta individu yang menggaji dan melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin ini.

“Tindakan tegas tetap diambil tanpa kompromi terhadap mereka yang terbabit,” katanya.

Katanya,sepanjang operasi dijalankan tiada perkara yang buruk berlaku dan kawasan premis ditinggalkan dalam keadaan yang baik.

Ke semua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian bagi siasatan lanjut. – dayakdaily.com