Pasukan undang-undang Sarawak ke London temukan dokumen sokongan tuntutan MA63

Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING – Pasukan undang-undang Sarawak yang baru pulang dari London bagi mendapatkan dokumen-dokumen sejarah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari Arkib Negara Britain telah menemukan dokumen sokongan terhadap tuntutan Akta Pentas Benua 1966 yang tidak sah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang mengetuai pasukan tersebut berkata, dokumen sokongan itu telah mengesahkan hak pemilikan negeri Sarawak terhadap kekayaan sumber asli di dasar laut dan dasar tanah dalam sempadan negeri seperti ditakrifkan perintah itu dalam Majlis.

Menurutnya, dokumen itu memperincikan alasan dan objektif dalam merangka Perintah Sarawak (Pengubahsuaian Sempadan) 1954 oleh Ratu dalam Majlis, untuk menentukan sempadan sempadan tanah, laut, dan benua Sarawak sebelum Hari Malaysia.

Sarawak selama ini mempertikaikan akta itu kerana ia mengubah sempadan laut negeri – bercanggah dengan perjanjian dalam MA63 – daripada (19.3km) dari pantai hingga hanya 4.83km.

Akta tersebut juga melucutkan Sarawak daripada 200 batu zon ekonomi eksklusif Sarawak (EEZ).

Sharifah Hasidah menambah, dokumen lain yang ditemukan juga akan menambah kekuatan kepada kedudukan negeri dalam perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung penurunan kuasa dan ke arah resolusi pelbagai perkara perlembagaan.

Sesetengah dokumen itu ‘asalnya’ dari Sarawak sebelum Hari Malaysia tetapi diklasifikasikan rahsia atau sulit oleh pentadbiran kolonial.

“Dokumen ini diubah status oleh kerajaan United Kingdom (UK) dan disimpan di Arkib Negara Britain.” jelasnya lagi.

Antara dokumen yang ditemukan pasukan tersebut berkenaan pembentukan Malaysia termasuk minit mesyuarat jawatankuasa antara kerajaan (IGC) yang membawa kepada penerbitan laporan IGC.

Kertas Kabinet kerajaan British berkaitan laporan Suruhanjaya Cobbold juga katanya ditemukan dan pandangannya dalam memberikan Sarawak kemerdekaan berhubung pembentukan persekutuan baharu Malaysia.

Dokumen tersebut telah ditemukan di Arkib Negara British dan Perpustakaan Komanwel serta arkib di Marlborough House di London.

Kerajaan negeri sedang mengkaji dokumen itu untuk memastikan asas syor terkandung dalam laporan IGC terhadap perlindungan perlembagaan untuk Sarawak dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil, jelas beliau lagi.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan cuba mendapatkan fail dan dokumen sulit terdahulu yang dibawa dari Sarawak untuk diletakkan di bawah jagaan kerajaan UK sebelum Hari Malaysia.

Ia terutama berkaitan pemberian konsesi perlombongan, pendapatan dan perkara kewangan, kawalan perkapalan dan perikanan di perairan Sarawak, pentadbiran pendidikan, buruh dan kesihatan awam.

“Jadi, misi penyelidikan ke London oleh pasukan yang dipimpin oleh saya baru-baru ini sangat produktif.

“Pengetahuan dan pemahaman ahli pasukan tentang fakta-fakta sejarah yang berkaitan dengan isu-isu perlembagaan yang merangkumi proses penurunan kuasa yang sedang berlangsung juga telah dipertingkatkan melalui penyelidikan dan kajian dokumen-dokumen yang berasal dari Sarawak sebelum Hari Malaysia,” katanya. -dayakdaily.com