Pasukan tentera dan polis bantu pantau anjing liar pembawa virus rabies (video)

KUCHING – Pasukan tentera dan polis akan dikerah bagi memantau pergerakan anjing liar di sekitar kawasan pintu masuk sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia dekat sini.

Operasi pemantauan serta kawalan oleh pasukan keselamatan tersebut adalah bagi membantu Jabatan Veterinar Sarawak serta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengawal penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan penularan virus rabies itu datangnya dari negara jiran tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri itu menambah, kawalan serta pemantauan lebih ketat harus dilakukan bagi memastikan virus rabies tidak terus menular di daerah yang terletak berhampiran dengan kawasan sempadan.

“Kerajaan negeri tidak menolak penulatan virus rabies ini datang dari sana (Kalimantan) sehingga merebak ke daerah berdekatan pintu masuk ke Sarawak.

“Sehubungan itu, kita memohon bantuan daripada pasukan tentera dan polis bagi melakukan pemantauan pergerakan keluar dan masuk anjing liar di sekitar kawasan sempadan,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Douglas tidak mengulas lanjut mengenai bilangan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi pemantauan dan kawalan anjing liar itu.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan survei yang dilakukan setakat ini, terdapat 68 orang penduduk kampung di sekitar Serian terkena gigitan anjing dari 1 April sehingga 1 Julai lalu.

Jelasnya, setiap seorang daripada mereka yang pernah digigit anjing liar atau peliharaan perlu menerima suntikan vaksin anti-rabies sebanyak empat kali.

“Sehingga kini, bekalan vaksin anti-rabies adalah mencukupi, namun bekalannya akan ditambah mengikut keperluan semasa,” ujarnya lagi. -dayakdaily.com