Pasukan Medical Team johan boling Piala Naib Canselor Unimas

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Medical Team yang berjaya membuat jatuhan pin sebanyak 2275 menjuarai Kejohanan Pertandingan Ten Pin Boling empat sepasukan antara Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun bagi merebut Piala Naib Canselor 2017 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Riverside, semalam.

Dengan kemenangan itu Medical Team membawa pulang Piala Naib Canselor, piala individu dan wang tunai sebanyak RM600.

Tempat kedua dimenangi oleh UNIMAS HAMMER dengan jatuhan pin sebanyak 2225 dan tempat ketiga JKM A dengan jatuhan pin sebanyak 2156.

Tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan piala individu manakala tempat ketiga dengan hadiah wang tunai sebanyak RM200 dan piala individu.

Manakala ‘high series’ kategori lelaki disandang oleh Hipni Morni dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan 608 jatuhan pin dan kategori wanita disandang oleh Iyliana Abdulah dari UNIMAS HAMMER dengan 566 jatuhan pin.

Kategori lelaki untuk ‘high games’ pula disandang oleh Sofian Kamsani dari PDRM sebanyak 232 pin dan wanita disandang oleh Nurafidza Mohammad Amran sebanyak 218 pin dari Medical Team.

Sebanyak 34 pasukan telah berentap dalam kejohanan anjuran UNIMAS Publisher dengan kerjasama Pusat Sukan UNIMAS bersempena dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa Penerbitan Buku Borneo dan Pesta Buku Borneo 2017 serta sambutan Jubli Perak 25 tahun UNIMAS.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UNIMAS (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Kopli Bujang.

Perasmian pertandingan telah dilakukan pada sebelah pagi oleh Pengarah UNIMAS Publisher, Profesor Madya Dr Jane Labadin bersama Pengarah Pusat Sukan UNIMAS, Profesor Madya Dr Azhaili Baharun dengan membuat balingan bola boling sebagai simbolik perasmian kejohanan. – dayakdaily.com