Pasukan Bumi Bakong FC johan Liga Sri Aman-LSC 2017

SRI AMAN: Kejuaraan Liga Sri Aman-Lea Sports Centre (LSC) 2017 (Piala Datuk Francis Harden ak Hollis) menjadi milik pasukan Bumi Bakong F.C setelah menewaskan pasukan Saberkas DUN Lingga dengan jaringan 4-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di padang dewan suarah, di sini petang tadi.

Skuad pimpinan Masrol Abdillah itu tidak bermasalah menjinakkan skuad Saberkas DUN Lingga dengan aksi pemain yang cukup bertenaga dan mantap sepanjang perlawanan walaupun diberi tentangan oleh pasukan lawan pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa pertama perlawanan berkesudahan dengan jaringan 2-1, namun pasukan Bumi Bakong FC yang meningkatkan momentum permainan berjaya menambah jaringan kepada 3-1.

Pasukan Bumi Bakong FC terus membunuh sisa perjuangan Saberkas DUN Lingga dengan jaringan keempat selepas itu.

Bagaimanapun, pada lewat permainan pasukan Saberkas DUN Lingga terus cuba merapatkan jaringan dengan gol kedua tetapi gol itu telah terlewat untuk mengagalkan misi Bumi Bakong FC meraih gelaran juara.

Dengan kejuaraan itu, Bumi Bakong FC meraih wang tunai RM 3,500, piala pusingan, piala iringan, pingat beserta baucer barangan sukan.

Pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM2,500, piala, pingat dan baucer barangan sukan.

Pasukan Pemuda PRS yang menduduki tempat ketiga turut membawa balik wang tunai RM1,500, piala, pingat dan baucer barangan sukan.

Pasukan SUPP Simanggang F.C yang tewas dalam penentuan tempat ketiga dan keempat tidak balik dengan tangan kosong apabila menerima wang tunai RM500, piala, pingat beserta baucer barangan sukan.

Hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden ak Hollis.

Turut menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais. – dayakdaily.com