Pasar Lapok sesak pada Ahad, harga ikan naik?

Pengunjung pasar Tamu Lapok membeli ikan biawan yang dijual dengan jumlah yang banyak pada pagi Ahad lepas

Pasukan D’Drift

LAPOK, 18 OKT: Pasar Tamu Lapok pada setiap Ahad pastinya sesak dibanjiri bukan sahaja penduduk tempatan malahan pekerja-pekerja dari ladang kelapa sawit berhampiran.

Seawal 7 pagi, pasar kecil itu dipenuhi deretan kereta khususnya pick-up sehinggakan tiada lagi ruang untuk parkir.


Tinjauan D’Drift pada Ahad lepas mendapati pelbagai bangsa dengan pelbagai dialek seperti Iban, Berawan, Kayan, Kenyah dan lain-lain memenuhi setiap meja di beberapa kedai kopi di pekan yang sudah wujud sekian lamanya.

Kebiasaannya, pelbagai jenis ikan sungai termasuk udang galah serta daging babi dijual di tamu dan ia adalah tarikan utama.

Sebahagian daripada ikan yang dijual di tamu

Ikan biawan yang diperolehi oleh penduduk tempatan hasil aktiviti nyelambau(bahasa tempatan) serta memukat di Sungai Teru dan Sungai Tinjar dijual dengan harga RM15 sekilogram.

Ikan mengalan di jual dengan harga RM38 sekilogram manakala belida RM20 sekilogram, menariknya ia masih bernyawa.

Selain itu, terdapat juga ikan baong dengan harga RM30 sekilogram dan ikan lampan jawa(RM15).

Namun sejak akhir-akhir ini, harga ikan di Tamu Lapok menurut penduduk telah meningkat berbanding daripada biasa.

Menurut seorang penduduk Rh Meran, Gilin Gasing ,55, peningkatan harga ini mungkin disebabkan oleh harga kelapa sawit di Miri dan Bintulu yang hampir mencecah RM1,000 setan sekarang.

Gilin Gasing

“Kebanyakan penduduk di sini adalah pengusaha kelapa sawit, dengan harga setinggi itu mereka meraih pendapatan lumayan hasil jualan sawit.

“Justeru, kenaikan harga ikan termasuk udang galah di Tamu Lapok berkemungkinan disebabkan kenaikan harga sawit.

“Penduduk seakan tidak ambil peduli dan sanggup membeli dengan apa sahaja harga,” katanya ketika ditemui pasukan D’Drift di Logan Bunut pada Sabtu.

Tinjauan pasukan D’Drift  mendapati harga kelapa sawit yang ditetapkan oleh beberapa peraih di sekitar Marudi, Long Lama dan Lapok adalah diantara RM930 hingga RM970 setan.

Seorang lagi penduduk yang merupakan pemandu bot di Taman Negara Logan Bunut, Jalin Luta  turut berkongsi pendapat dengan Gilin.

Katanya, bukan sahaja harga ikan naik malahan harga sayur pun sudah mahal.

Jelas Jalin, seikat sayur di tamu tersebut dijual dengan harga RM2 tetapi jumlahnya adalah sedikit.

“Untuk makan seorang pun tidak cukup, untuk sekeluarga sekurang-kurangnya 2 atau 3 ikat barulah cukup,” katanya sambil berkata bekalan sayur tersebut datang dari pembekal di Miri.

Dalam pada itu, seorang peniaga runcit ketika ditemui berkata, Pasar Lapok memang sentiasa sesak pada waktu pagi setiap Ahad.

Katanya, kebanyakan pekerja-pekerja ladang tidak bekerja pada hari tersebut dan mengambil peluang untuk ke pekan setelah bekerja dari Isnin hingga Sabtu.

“Inilah hari mereka berehat, makan dan minum di sini serta membeli barangan untuk keperluan dalam tempoh 7 hari seterusnya.

“Maka, Pekan ini akan dipenuhi oleh kenderaan pick up mereka. Keadaan akan bertambah sesak pada hari gaji,” ujar peniaga tersebut. — DayakDaily.

Pasar Tamu Lapok