Pasar Basah Sungai Maong dan Kampung Serikin diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies terbaru

Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia. - dayakdaily.com

KUCHING – Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengisytiharkan dua lagi kawasan baru wabak Rabies iaitu Pasar Basah, Sungai Maong di sini dan Kampung Serikin, Bau.

Setakat ini, terdapat 22 buah kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45, Kuching-Sri Aman.

Kawasan lain ialah, Kampung Temong Mura, Rh. Janta Punggu Mawang, Kampung Entubuh, Batu 5, Jalan Semeba, Pasar Basah Sungai Maong dan Kampung Serikin, Bau.

JPBNS dalam kenyataan sama memberitahu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan) telah diadakan pada pukul 10.00 pagi hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu Serian.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datu Jaul Samion dan , Kepala Kanselerai, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching, Bapak Muhammad Abdullah.

Mesyuarat tersebut kata JPBNS telah memutuskan dan mencadangkan beberapa langkah yang berkesan untuk mengatasi Wabak Rabies terutamanya di kawasan sempadan.

“Antaranya adalah mewujudkan kerjasama di bawah naungan SOSEK MALINDO supaya mesyuarat boleh diadakan dari masa ke semasa sekiranya diperlukan.

“Selain itu, mesyuarat sama turut bersetuju untuk membuat vaksinasi bersama di bawah Immune Belt di kawasan sempadan serta mempertingkatkan promosi kesedaran

mengenai Rabies di sempadan dengan memberi pamplet yang mempunyai dwibahasa (Malaysia & Indonesia),” kata JPBNS dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut juga bersetuju mewujudkan komunikasi lebih berkesan melalui satu pintu iaitu melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVS) dengan berhubung terus dengan Dinas Kesehatan kalimatan Barat.

Pada masa sama kata JPBNS operasi bersama diadakan dengan mewujudkan satu SOP di antara Sarawak dan Kalimantan Barat untuk kerjasama operasi rabies di perbatasan supaya tidak timbul banyak masalah.

“JPVS setakat ini juga telah mengadakan sebanyak 114 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat yang dihadiri oleh 24,516 orang peserta.

“Antara lain, JPVS juga akan meneruskan program pemvaksinan, survelan, kempen kesedaran dan penyiasatan kes-kes aduan berkaitan wabak penyakit rabies di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai langkah mengawal penularan wabak tersebut,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPVS di talian 082-612949/611607 dan faksimili 082-613460. – dayakdaily.com