Pasangan kekasih ditangkap kerana memiliki Syabu

Dadah jenis Syabu yang dijumpai IPD Serian dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara di tepi Stesen Minyak Petronas Serian malam tadi. - PDRM

SERIAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian terus menggempur aktiviti penyalahgunaan dadah dengan tangkapan satu lagi kes berkaitan dadah jenis Syabu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan (DSP) Aswandy Anis berkata,dalam tangkapan yang dilakukan pada jam 9.45 malam itu pihaknya telah berjaya menangkap seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 27 tahun kerana memiliki dadah jenis Syabu.

“Lelaki dan wanita berbangsa Iban dan Bidayuh dipercayai pasangan kekasih ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di dalam kenderaan jenis Proton Iswara warna putih di tepi Stesen Minyak Petronas Serian,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut telah menjumpai satu kotak rokok warna kemerahan jenama Pall Mall di poket pelapik pintu sebelah pemandu.

“Di dalam kotak rokok ini terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu seberat 1.05 gram,” katanya.

Katanya, menerusi ujian air kencing yang dijalankan lelaki berkenaan didapati positif dadah manakala teman wanitanya negatif dadah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – dayakdaily.com