Pantau pergerakan anak, elak terjebak dadah

Masir (dua kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Langkat Abang, Kedang,Sri Aman - dayakdaily.com

SRI AMAN: Ibu bapa diminta memantau pergerakan anak-anak sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada terjebak dalam masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat berkata, ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan.

“Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengetahui mengenai aktiviti anak-anak mereka dan mengenai dadah kerana kita tidak mahu anak-anak kita terbabit dengan gejala tidak sihat ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Langkat Abang, Kedang, di sini, semalam.

Katanya, sebagai langkah menangani penularan gejala dadah di kalangan generasi muda pejabat pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan ditubuhkan di bahagian Sri Aman.

“Pejabat ini akan mula beroperasi pada bulan Julai ini bagi memantau kes yang berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, lokasi tetap untuk pejabat AADK itu akan dikenal pasti.

“Buat sementara waktu pejabat ini mungkin akan menumpang di Pejabat Daerah atau menyewa bangunan di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun Sri Aman masih lagi selamat dari penularan kegiatan penyalahgunaan dadah tidak semestinya semua pihak berpeluk tubuh.

“Kita mesti merangka langkah awal bagi memastikan generasi muda di sini benar-benar bebas daripada najis dadah,” katanya.

Katanya, bagi melahirkan generasi yang bebas dadah juga kerajaan akan menubuhkan pejabat AADK di setiap kawasan di negara ini.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Langkat dan RM 3,000 untuk Biro Wanita rumah panjang berkenaan. – dayakdaily.com