Padah ugut bunuh ibu sendiri, lelaki dipenjara enam bulan

Hakim Marutin Pagan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 28 tahun mengaku bersalah terhadap tertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. - dayakdaily.com

SERIAN – Akibat mengugut untuk membunuh ibunya sendiri, seorang lelaki dihukum penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Hakim Marutin Pagan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 28 tahun mengaku bersalah terhadap tertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mahkamah sama turut mengarahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap pada 1 Julai lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut bunuh ibunya di sebuah rumah di Kampung Tambirat, Asajaya pada 30 Jun lalu.

Susulan ugutan bunuh itu, ibu tertuduh yang bimbang akan keselamatan dirinya kemudian membuat laporan polis terhadap anaknya untuk tindakan selanjutnya.

Ibu mangsa dalam laporan polis turut mendakwa anaknya pernah mengambil dadah sebelum itu. – daydakdaily.com