Padah mahu curi kabel, lelaki tersangkut pada tiang elektrik

Suspek tersangkut pada tiang elektrik dipercayai mahu mencuri kabel elektrik berhampiran kawasan loji air lama Hulu Trusan,Lawas - PDRM

LAWAS:Cubaan seorang lelaki yang mahu mencuri kabel elektrik membawa padah apabila telah tersangkut di tiang eletrik berhampiran kawasan loji air lama Hulu Trusan, di sini, malam tadi.

Suspek, Robert Pengiran Ating,43, yang merupakan seorang penganggur berasal dari Kampung Lintang, Trusan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu daripada orang awam pada jam 8.50 malam.

“Kita menerima panggilan mengatakan seorang lelaki tersangkut di tiang eletrik berhampiran kawasan loji air.

“Bertindak daripada aduan tersebut pihak polis pada jam 9.10 malam telah pergi ke loji tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, setiba di lokasi didapati seorang lelaki telah tersangkut di atas tiang letrik dan tidak dapat melepaskan diri.

“Pada masa yang sama sepasukan Bomba telah menyelamatkan lelaki tersebut dengan cara menurunkannya dari atas tiang letrik,” katanya.

Katanya, seterusnya suspek di tangkap oleh sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenaya (JSJ) IPD Lawas.

“Turut dirampas daripada suspek ialah sebilah pedang berserta sarung warna coklat, sepasang kasut berwarna hitam dan sehelai baju t-shirts warna merah jenama hotlink,” katanya.

Katanya, suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan cubaan mencuri kabel letrik.

“Suspek telah di rujuk ke hospital Lawas untuk menjalani rawatan diiringi anggota polis,” katanya. – dayakdaily.com