Orang ramai dinasihat jangan biar anjing dan kucing keluar rumah

File pics - dayakdaily.com

SIBU, 26 Julai : Orang ramai di Sibu dinasihati untuk tidak membiarkan anjing dan kucing peliharaan mereka keluar dari kawasan rumah masing-masing.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong King berkata, ini sebagai langkah pencegahan berikutan penularan wabak penyakit anjing gila atau rabies di bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak membawa pulang haiwan peliharaan dari kawasan yang dijangkiti rabies dan segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit oleh anjing dan kucing,” katanya.

Bercakap semasa mempengerusikan mesyuarat penuh MPS hari ini, Ting berkata majlis itu akan menjalankan operasi berterusan untuk menangkap anjing liar.

Beliau memberitahu sebanyak 366 ekor anjing telah ditangkap MPS sejak awal tahun ini sehingga semalam berbanding 351 ekor pada tahun lalu dan 693 ekor pada 2015.

Pada bulan ini sahaja 110 ekor anjing telah ditangkap.

Beliau turut meminta orang ramai supaya mendapatkan lesen pemilikan anjing daripada MPS kerana hanya 97 lesen pemilikan anjing dikeluarkan sehingga kini. -dayakdaily.com