Operasi CARILAMAT empat pemancing dan seorang tekong bot ditangguh, masih tiada petunjuk baharu

Perbincangan dengan wakil keluarga-keluarga mangsa dilakukan sebelum keputusan penanguhan operasi dibuat.


Juetila Ozzy
KUCHING, 9 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) ke atas lima pemancing yang dilaporkan tidak pulang pada 3 oktober lepas, ditangguhkan pada jam 5.00 petang tadi.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi ditangguhkan selepas tujuh hari operasi pencarian yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lain-lain agensi tidak menemui petunjuk baharu.
Katanya, secara keseluruhannya, pasukan penyelamat telah membuat pencarian dengan keluasan pencarian keseluruhan dari hari pertama sehingga hari ketujuh merangkumi seluas 3144.04 batu nautika persegi  melibatkan aset  pencarian di laut serta melalui udara.
“Sepanjang tujuh hari operasi CARILAMAT dilaksanakan, pasukan penyelamat tidak menemui sebarang petunjuk baharu, hanya penemuan boya berwarna oren yang ditemui berapung dan telah disahkan oleh pemilik bot pada 3 Oktober lepas, pada jarak lebih kurang 34.5 batu nautika Barat Laut Muara Sungai Santubong,” katanya dalam sidang media, di jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) hari ini.
Jelasnya, kebarangkalian mangsa masih hidup juga tidak dapat pastikan pada hari ketujuh operasi CARILAMAT ini.
“Tiada konsep SOP CARILAMAT ditamatkan hari ketujuh, namun memandangkan tiada sebarang petunjuk baharu yang ditemui kebarangkalian mangsa yang dicari masih hidup mungkin tipis,” katanya.
Bagaimanapun katanya pencarian mangsa dan bot masih dilakukan selepas ini, dimana akan dimasukkan dalam sektor rondaan operasi harian untuk aset-aset kapal dan bot yang beroperasi di laut kelak.
“Maritim Malaysia memohon jasa baik serta kerjasama komuniti nelayan sekitar serta kapal-kapal dagang untuk melaporkan sebarang penemuan berkaitan kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Maritim malaysia merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada semua agensi sahabat yang terlibat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM), Unit Udara Bomba, Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Coast Guard (SCG) serta JKK Telaga Air dan Komuniti Maritim sekitar yang telah bersama-sama selama tujuh hari dalam operasi CARILAMAT dilaksanakan.
Mangsa yang masih hilang ialah Khamizan Saidi (40), Ng Ching Hui (36), Christoper Teo (32), Yap Tze Kang (41) dan Leo Dy Lee Jiann Tarn (35).
Sementara itu, beliau turut menasihatkan komuniti maritim, terutamanya pengusaha bot-bot kecil dinasihatkan agar tidak turun ke laut buat masa sekarang memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik terutamanya dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang bermula dari bulan Oktober 2021 hingga Mac 2022.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily