OP Selamat Gawai 2017 dari 26 Mei hingga 4 Jun

SERIAN – Op Selamat sempena perayaan Hari Gawai Dayak 2017 dilancarkan bermula hari ini selama 10 hari hingga 4 Jun depan.

Mengekalkan tema tahun lalu iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’, penumpuan operasi berbentuk ‘serampang dua mata’ itu akan memberi tumpuan terhadap mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Shafie Ismail berkata, sepanjang Op Selamat Hari Gawai 2016, sebanyak 15 kes kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 15 hari operasi itu dilancarkan.

Menurut beliau, jumlah tersebut menunjukkan penurunan dua kes kematian berbanding 17 kes maut yang dicatatkan sepanjang Op Selamat Hari Gawai 2015.

“Bagaimanapun, angka kemalangan parah pula meningkat enam kes atau 120 peratus menjadikan 11 kes keseluruhan berbanding lima kes pada 2015.

“Jumlah kemalangan rosak yang direkodkan sepanjang Op Selamat Hari Gawai 2016 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau 24 kes dengan kes keseluruhan 649 kes berbanding 625 kes pada 2015,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau telah mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor melancarkan Op Selamat Hari Gawai Dayak 2017 di Kilometer 60, Jalan Kuching-Serian.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah kematian yang direkodkan akibat kemalangan jalan raya Sarawak menunjukkan penurunan sebanyak 40 kes setakat 24 Mei tahun ini berbanding 188 kes yang dalam tempoh sama tahun lalu.

Jelas beliau, penurunan indeks kematian tersebut melibatkan 148 kes atau 21.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Memandu secara laju sambil menggunakan telefon bimbit telah dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kes kemalangan maut di seluruh negeri ini.

“Selain itu, terdapat juga pemandu yang enggan mematuhi undang-undang jalan raya serta sikap pentingkan diri sendiri juga menjadi punca kes kemalangan maut,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, terdapat beberapa faktor lain yang turut dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan termasuk peningkatan jumlah kenderaan, struktur jalan raya yang rosak, cuaca dan faktor kenderaan pengguna itu sendiri.

Shafie turut menasihatkan agar mana-mana pengguna jalan raya yang di bawah pengaruh alkohol agar tidak memandu kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Ingatkanlah orang tersayang pada musim perayaan Hari Gawai ini, jangan memandu jika di bawah pengaruh alkhol kerana risiko bahaya ada di mana-mana,” katanya.

Sementara itu, ketika membacakan teks ucapan, Mazlan menggesa masyarakat yang merancang untuk meninggalkan kediaman masing-masing sempena musim perayaan ini supaya mengambil langkah keselamatan yang difikirkan perlu.

Katanya, antara langkah tersebut termasuk mengisi borang pemakluman kepada polis melalui borang maklumat balik kampung yang boleh diperolehi secara percuma di balai-balai polis berdekatan atau memuat turun daripada portal rasmi Polis Diraja Malaysia.

“Mereka juga boleh meninggalkan pesanan kepada jiran tetangga bagi memastikan keadaan rumah sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.-dayakdaily.com