OKU Gigih Berdikari Buka Kedai Anggota Tiruan Sendiri

Medam (left) teliti dalam hasil kerjanya

KUCHING: Menyahut seruan kerajaan supaya berdikari, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat anggota kaki, Medam Nuber, 46, dibantu oleh isterinya Jene Paul Sallih,47, membuka kedai membuat anggota tiruan sendiri awal tahun ini.

Pasangan suami isteri berbangsa Bidayuh itu menawar dan menyediakan perkhidmatan pembuatan anggota tiruan seperti kaki, tangan dan sebagainya kepada yang memerlukan di MJC Batu Kawah New Township, di sini.

Medam berkata, dia memperoleh kemahiran membuat anggota tiruan itu melalui pengalamannya semasa bekerja dengan sebuah syarikat swasta di antara tahun 1995 hingga 2000.

Menurutnya, ketika bekerja dengan syarikat berkenaan, dia pernah mengikuti kursus berkaitan teknik membuat anggota palsu di Kuala Lumpur.

“Saya kemudian menggunakan kemahiran yang dimiliki dengan bekerja di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama 14 tahun.

“Pada tahun 2015 saya telah diberi peluang menubuhkan satu pusat pembuatan anggota palsu di premis Pertubuhan Orang-Orang Cacat Sarawak di Jalan Tun Abang Haji Openg,” katanya.

Medan sama sekali tidak menyesal dilahirkan cacat anggota, malah menganggapnya sebagai satu anugerah Tuhan yang perlu ditangani dengan daya usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.

“Saya dan isteri begitu tabah menguruskan perniagaan walaupun agak perlahan kerana yakin perniagaan ini mampu menyara kehidupan sekeluarga disamping memberikan khidmat kepada golongan senasib,” ujarnya.

Katanya, dengan menggunakan alat sokongan ataupun anggota palsu ini, pergerakan seseorang itu akan menjadi agak mudah dan sedikit sebanyak dapat membantu dalam kehidupan seharian.

Menurutnya lagi, perniagaan nya itu turut membuka peluang pekerjaan kepada dua orang OKU iaitu Baharuddin Sam, 31, dan Mohd Akil Roben @ Jonathan, 30.