“Nyimbah Benua” masih diamalkan masyarakat Iban di muara sungai Bruan

Nyimbah Benua dijalankan oleh masyarakat Iban yang tinggal di sepanjang muara sungai bagi memohon berkat agar dipermudahkan rezeki ketika mereka berada di laut untuk menangkap ikan. - dayakdaily.com

MATU: Zaman moden hari ini tidak sesekali menghakis adat dan budaya yang telah diwarisi daripada nenek moyang terdahulu.

Bagi masyarakat Iban di muara sungai Bruan,di sini mereka masih mengekalkan adat Nyimbah Benua.

Nyimbah Benua dijalankan oleh masyarakat Iban yang tinggal di sepanjang muara sungai bagi memohon berkat agar dipermudahkan rezeki ketika mereka berada di laut untuk menangkap ikan.

Tuai Rumah,Gangga Kumbang, berkata, upacara ini selalunya dilakukan selepas menyambut Gawai iaitu pada hari ketiga atau keempat masyarakat Dayak menyambut perayaan itu.

“Kebanyakan masyarakat Iban yang tinggal di kawasan ini terdiri daripada golongan nelayan yang bergantung kepada sungai dan laut sebagai sumber rezeki.

“Nyimbah Benua ini kita lakukan untuk memohon dilimpahkan rezeki dan hasil yang diperoleh daripada sungai dan laut,” katanya.

Kira-kira 200 penduduk telah menghadiri upacara itu.

Katanya, dahulunya masyarakat itu menjalankan upacara miring untuk memohon berkat dari semangat laut.

“Namun kini kita hanya menjalankan upacara ini secara doa sahaja,” ujarnya.

Katanya, adat dan budaya lama itu harus dikekalkan dan diwarisi sampai bila-bila.

“Dalam zaman yang semakin moden hari ini adat dan budaya lama ini semakin dipinggirkan, jika tidak ada usaha berterusan tidak mustahil ia akan lenyap,” katanya. – dayakdaily.com